Friday, April 17, 2009

Analisis teori Takmilah Buku Puncak Jihad (Kumpulan Puisi Animas ar)

PENGENALAN

Konsep Sastera Islam di alam Melayu dibentuk oleh “Kiyal Cabul”, diketuai oleh Hamka, di Medan, pada 1930-an. Di Malaysia, wacana sastera Islam yang bersifat konseptual mula-mula muncul pada tahun 1965 oleh Yusof Zaki Yaakob dalam kertas kerjanya, yang dibentangkan pada Hari Sastera di Kota Bharu. Walau bagaimanapun, gelombang besar perbincangan mengenainya timbul ekoran daripada polemik antara Shahnon Ahmad dengan Kasim Ahmad pada dekad 1980-an. Impaknya cukup besar bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Singapura dan Indonesia. Misalnya, Kompas, 24 November 2002 melaporkan konsep ‘Seni untuk masyarakat’ yang menjadi motif perjuangan Asas ’50 berteraskan nasionalisme, sejak begitu lama menguasai alam pemikiran sastera Melayu, merosot apabila tercetusnya polemik sastera di antara dua sasterawan besar Shahnon Ahmad dan Kasim Ahmad pada pertengahan tahun 1980-an.
Sejak itu, tradisi sastera yang berunsurkan Islam semakin mendapat tempat dikalangan masyarakat. Sesuai dengan zaman kebangkitan Islam, ramai sasterawan di Malaysia dan Indonesia sudah mulai kembali menghayati karya-karya sastera yang berunsurkan Islam dan sufi. Di Indonesia ini dipelopori oleh penyair besar Abdul Hadi WM. Di Malaysia dipelopori oleh Yusof Zaki dan Shahnon Ahmad.
Perkembangan sastera Islam negara juga dipercayai bermula pada 1930-an. Ia semakin ketara pada 1970-an kerana ketika itulah berlakunya kebangkitan Islam. Melalui kerjasama antara DBP dan persatuan penulis setiap negeri, karya sastera berunsur Islam semakin bercambah dengan kemunculan penulis-penulis yang mempunyai latar belakang pendidikan agama.

Sastera Islam Berasaskan Teori Takmilah

Teori Takmilah merupakan perkembangan baru dalam dunia kritikan sastera tempatan. Ia menjadi pendekatan alternatif tengah-tengah keghairahan teori sastera dari Barat yang menguasai dunia sastera tempatan hari ini, berasaskan nilai-nilai estetika daripada al-Quran dan al-hadis.

Hasil daripada pengamatan teliti Prof. Madya Dr. Shafei Abu Bakar bersumberkan nilai-nilai estetika ini dan falsafah Islam yang berprinsipkan tauhid, teori sastera ini direalisasikan. Dari aspek penerapannya, takmilah mengarah kepada pemahaman bahawa sesebuah karya sastera merupakan salah satu unsur seni yang menekankan kesempurnaan serta keindahan.

Ia secara umumnya didasarkan kepada tujuh prinsip utama iaitu kesempurnaan dari aspek ketuhanan (kamal), kerasulan (kamil), keislaman (akmal), prinsip ilmu (takamul), kesusasteraan (takmilah), pengkarya (istikmal) dan insan (kamil).

Ketua Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya (UM) Prof. Madya Dr. Mohd. Mokhtar Abu Hassan melihat teori takmilah ini memberi sumbangan yang begitu penting dalam asas kritikan sastera tempatan dalam lingkup epistemologi Islam.

Menurutnya, secara takmilah, seseorang pengarang dan karya sastera yang sempurna menggabungkan unsur-unsur tersebut membentuk satu karya yang mampu mewadahi khalayak Islamnya sendiri.

Pengindahan dalam sastera untuk mencapai takmilah melibatkan semua aspek yang merangkumi penghasilan sesebuah karya. Ia merangkumi bentuk, isi, tema, struktur,
teknik, watak, perwatakan, sudut pandang, nilai, mesej, ideologi dan sebagainya.

Bagi karya-karya berbentuk puisi pula terdapat aspek-aspek khusus yang mencirikan kepuisian yang meliputi estetika, simile, metafora, alegori, personafikasi, simbol, citra, hiperbola, aliterasi, asonasi, pembayang dan maksud. Seseorang pengarang harus bertanggungjawab menyempurnakan hasil-hasil kreatif mereka dengan nilai-nilai estetika seni selaras dengan kehendak dan kesempurnaan-Nya. Dengan mengambil contoh Puisi ‘Anbiya’ karya Shamsuddin Jaafar, Mohd. Mokhtar melihat ianya begitu jelas memaparkan nilai-nilai takmilah yang berkait rapat kisah para nabi (ulama penerus ajaran Junjungan Besar).

Keagungan Allah juga dipancarkan oleh penyair dalam peristiwa pembinaan kapal ketika Nabi Nuh ditentang oleh pengikut-pengikut yang ingkar terhadap perintah-Nya. Kebesaran dan Keagungan-Nya dipaparkan oleh penyair dengan begitu teliti dan jelas menerusi kisah-kisah ini, termasuk pelbagai peristiwa sekitar Nabi Ibrahim a.s, Nabi Muhammad s.a.w dan lain-lain, sekali gus mengajak manusia merenungi serta menghayati pengajaran daripada kisah-kisah ini.

Jelas, segala yang diungkapkan oleh penyair dalam Puisi ‘Anbiya’ mengarah kepada orientasi keislaman iaitu berhubung mengenai ketuhanan, akidah nabi dan Rasul. Ini sesuai dengan teori sastera Islam itu sendiri dari segi keindahan penyampaian melalui sastera dan indah dari segi nilai yang menyempurnakan pegangan keislaman serta falsafah tauhidnya. Segala-galanya dipaparkan semula oleh penyair dalam bentuk puisi untuk 'mentakmilahkan' manusia agar kehidupan manusia akan lebih sempurna.

Penyair turut menampilkan unsur-unsur keindahan dalam pelbagai aspek termasuklah unsur bunyi yang biasanya berulang dan persamaan bunyi untuk menyempurnakan bentuk, bunyi dan makna yang dianggap indah. Antara lain dalam Puisi ‘Anbiya’ diperlihatkan menerusi teknik perulangan yang sesungguhnya banyak ditemukan di Al Quran.

Dr Shafei Abu Bakar sesungguhnya berjaya melahirkan satu kerangka teori yang lengkap dan jelas dengan meliputi definisi, konsep, falsafah, prinsip dan dikemukakan contoh-contoh karya yang boleh diaplikasi dengan teori tersebut. Teori yang dikemukakan ini ternyata telah mendapat tempat kepada peneliti sastera dan pencinta teori kesusasteraan Islam.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Hjh Samsina bt Hj Abd. Rahman, teori takmilah berdasarkan kepada tujuh prinsip dengan bertunjangkan sifat kamal (kesempurnaan) Allah s.w.t. dan al-kamil Rasulullah s.a.w. dalam membina karya berunsur Islam.

Teori ini bersifat holistik kerana prinsip-prinsipnya melibatkan pelbagai aspek iaitu ketuhanan yang bersifat kamal, kerasulan sebagai insan kamil, keislaman yang bersifat akmal, ilmu dengan sastera yang bersifat takamul, sastera yang berciri estetik dan bersifat takmilah, pengkarya yang mengistikmalkan diri dan khalayak ke arah insan kamil.

Istikmal merujuk kepada pengkarya yang perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu agama, sastera dan ilmu bantu yang lain. Dalam hal ini, sastera boleh berperanan dalam menyempurnakan ilmu lain seperti sains, perubatan, kejuruteraan, geografi dan sejarah. Kebanyakan penulis mempunyai latar belakang berbeza seperti Aminah Mokhtar, seorang jururawat yang menghasilkan karya-karya berunsur agama.

Karya sastera Islam yang asli bersifat lebih syumul (menyeluruh). Teori takmilah, menurut Dr Shafie, mempunyai dua komponen utama iaitu komponen falsafah dan teknik berkarya, Dr Samsina yang mengkhusus dalam Kesusasteraan Melayu khusus dalam Puisi Islam, Teori Sastera Islam (Takmilah) dan Kesusasteraan Melayu Mistik (tasawuf).

Beliau berpendapat, perkembangan sastera Islam di Malaysia terbahagi kepada dua. Pertama, penulis muda yang berlatar belakang pendidikan agama yang cenderung menulis tentang Islam. Sudut kedua ialah penulis terkenal yang memilih karya berunsur Islam sesuai dengan peningkatan umur mereka. Antara hasil karya berunsur Islam ialah novel Imam oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussin, kumpulan puisi al-Amin karya A. Samad Said yang juga Sasterawan Negara dan novel Muhammad Akhir karya Anas K. Hadi Maja.“Contohnya, Shamsudin Othman dan Rahimidin Zahari yang aktif melahirkan puisi Islam serta Faisal Tehrani dengan genre cerpen dan novel menunjukkan kesedaran yang tinggi dalam kalangan penulis muda.

Sastera Islam perlu lebih fokus kerana ia membabitkan ilmu agama, fardu ain dan fardu kifayah. Penulis sastera Islam mempunyai tugas berat kerana setiap karyanya akan dipertanggungjawabkan di akhirat. Soal agama bukan perkara yang boleh dipermain-mainkan.

Latar Belakang Teori dan Pendekatan Takmilah

Teori dan pendekatan Takmilah kini sudah menjangkau usia hampir 16 tahun iaitu apabila ia mula diperkenalkan oleh Dr Shafie bin Abu Bakar pada 29 hingga 31 Oktober 1992. Pada awalnya beliau tidak menggunakan istilah Takmilah tetapi menggunakan tajuk “ Sastera Islam: Teori Pengindahan dan Penyempurnaan dalam Rangka Tauhid”. Kertas kerja ini dibentangkan dalam satu seminar anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Port Dikson.

Lanjutan daripada itu beliau telah menjelaskan idea mengenai teori Takmilah dalam Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka pada 5 hingga 8 September 1993. Beliau membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Teks Hadiqat al-Azhar wa al-Rayahin: Sebagai model Sastera Islam”. Dr Shafie Abu Bakar menggunakan istilah Takmilah dengan pengolahan teks yang dipilih tetapi bukan sebagai judul utama kertas kerja.

Penggunaan istilah “Takmilah” sebagai judul kertas kerja dikemukakan oleh beliau dalam satu Nadwah Sastera Islam Antarabangsa , juga dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1 hingga 3 Disember 1993. Kertas kerja itu bertajuk “Takmilah: Teori Sastera Islam”. Kertas kerja ini disiarkan dalam majalah Dewan Sastera terbitan bulan Ogos dan September 1994.

Aplikasi teori ini kemudianya telah dilakukan oleh Dr Shafie Abu Bakar terhadap kumpulan puisi ‘Kau dan Aku’ karya A. Aziz Deraman dengan judul “Kau dan Aku: Analisis Takmilah”. Ia dijadikan esei kritikan dan disiarkan dalam majalah Dewan Sastera keluaran bulan Januari 1995, seterusnya beliau terus mengaplikasi teori Takmilah dengan menganalisis puisi-puisi melayu moden berunsur tasawuf hingga beliau menamatkan pengajian peringkat Ph.D pada tahun 1996.

Penerapan dan aplikasi teori ini terus dilakukan hingga kini menjadi projek penyelidikan pelajar pada peringkat Bachelor, Sarjana, dan Doktor Falsafah sama ada di Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya malah di Universiti Kebangsaan Malaysia sendiri.

Menurut Dr Shafie Abu Bakar teori Takmialh yang dibina secara berhubung rapat dengan falsafah dan prinsip-prinsip keislaman adalah bersifat syumul (menyeluruh) dan holistik. Sifat syumul dijelaskan iaitu ia mesti bertolak dari falsafah tauhid yang bersifat doktirinik yang kukuh dalam islam. Dari sifat ‘Kamal Allah’ yang menjadi unsur bagi Takmilah sebagai elemen mendidik dan tajmilah (keindahan/estetik) sebagai elemen seni dan sastera yang meningkatkan martabat insan seperti yang tergambar pada sifat Rasulullah S.A.W.

Beliau menegaskan ada dua komponen utama iaitu Komponen Falsafah yang mewarnai nilai-nilai seperti kebaikan, kebenaran, kemulian, dan ketinggian serta Komponen Seni yang mewarnai karya melalui teknik-teknik berkarya itu sendiri. Kedua-dua komponen ini merangkumi nilai baik dan buruk yang ditegaskan dalam teori ini adalah sebagai pendorong Dr Shafie Abu Bakar . Beliau juga mengenengahkan nilai-nulai yang tidak diketemui dalam teori-teori kesusasteraan yang terdahulu agar dapat digunakan dalam menganalisis karya-karya kesusasteraan Melayu-Islam.


Teori ini dikatakan bersifat holistik kerana prinsip-prinsipnya yang tujuh melibatkan segala aspek iaitu Ketuhanan, Kenabian, Keislaman, Keilmuan, Karya, Pengkarya dan Khalayak. Tujuh prinsip tersebut sebagai mana diutarakan melalui Dewan Sastera 1996 dan diperhalusi dalam kertas kerja yang dibentangkan pada tahun 2000 adalah seperti berikut:
1) Prinsip ketuhanan yang bersifat Kamal.
2) Prinsip kerasulan sebagai insan Kamil.
3) Prinsip keislaman yang bersifat Akmal.
4) Prinsip ilmu dengan sastera yang bersifat Takamul.
5) Prinsip sastera sendiri yang bercirikan estetika dan bersifat Takmilah.
6) Prinsip pada pengkarya yang seharusnya mengistikmalkan diri.
7) Prinsip khalayak bertujuan memupuk mereka kearah insan Kamil.


Analisis Takmilah dalam Puisi ‘Puncak Jihad’. Kumpulan Puisi Anismas Ar
Analisis puisi ini akan merujuk kepada tujuh prinsip yang berteraskan teori Takmilah yang diutarakan oleh Dr Shafie Abu Bakar dalam kumpulan puisi Anismas Ar karya Dr Hjh Samsina bt Hj Abdul Rahman yang diterbitkan oleh Universiti Putra Malaysia pada tahun 2008.

1. Prinsip ketuhanan yang bersifat Kamal

Prinsip teori takmilah dalam pengetian Dr Shafie Abu Bakar mengenal sifat Allah yang mempunyai sifat yang sempurna iaitu sifat Kamalnya. Maksud takmilah itu ialah Menyempurnakan.
Dalam puisi ini penyair mencatatkan pengalamannya semasa mengerjakan haji dan sewaktu penyair hampir bertolak ke Mekah, beliau merakamkan pujian-pujian yang berbentuk doa kepada tuhan melalui bait- bait puisi tersebut yang mengagung-agungkan sifat Allah dalam puisi “Muqadimah Catatan Suci Puncak Jihad”
Maha suci-Mu ya Quddus
Maha Agung-Mu ya Azim
Maha Pemurah-Mu ya Rahman
Maha Pengasih-Mu ya Rahim
Pabila sampai saatku ini
Permudah kembaraku ke puncak jihad-Mu
(2008: 1)
Perasaan berserah kepada Allah ini timbul kerana penyair bersyukur kerana menjadi tetamu Allah iaitu pergi menunaikan haji yang dapat kita lihat pada bait pertama hingga bait keempat dalam puisi tersebut iaitu:
Sekali telah tercatat di tangan taqdir
Panggilan-Mu tiada mungkir
Menjemputku sebagai tetamu-Mu
Haji puncak Ketaatan ibadah
(2008: 1)
Penyair juga membawa pembaca dalam mengenal sifat-sifat Allah apabila merakamkan pengalaman ketika bersembahyang subuh di Masjid Nabawi melalui syair ‘Masjid Nabawi (i)’ ungkapannya berikut:
Alhamdulillah ya Rahman
Alhamdulillah ya Rahim
Alhamdilillah ya Qahhar
Alhamdulillah ya Razzaq
Alhamdulillah ya Kamal
Hanya itu yang mengalir di bibir
Lalu sujud menyerah diri
Meneruskan jihad rohani-jasmani
Di bumi sucimurni ini
(2008: 4)
Konsep kesempurnaan ini dapat kita garap apabila kita membaca tafsir Pimpinan ar-Rahman cetakan kelima dalam Surah Al Mu’min ayat 64 dan 65 yang membawa maksud:

Allah yang menjadikan bumi sebagai tempat penetapan untuk kamu, dan langit sebagai bumbung yang kukuh binaannya; dan ia membentuk kamu lalu memperelokkan rupa kamu, serta dikurniakan kepada kamu dari benda-benda yang baik lagi halal. Yang demikian (KekuasaanNya dan kemurkaanNya) ialah Allah, Tuhan kamu; maka nyatalah kelebihan dan kemurahan Allah, tuhan sekian alam.
(1992: 1257)
Dialah yang tetap hidup; tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; maka sembahlah kamu akan Dia dengan mengikhlaskan amal ugama kamu kepadaNya semata-mata. Segala puji tertentu bagi Allah, tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekian alam.
(1992: 1257)

Di dasari perasaan rendah diri dan berjiwa tauhid serta mengharapkan keampunan dari Allah, penyair berdoa setelah bersolat sunat dua rakaat di Ta’naeem memperlihatkan bahawa dirinya sebagai hamba yang serba kekurangan dan lemah dan mengharapkan agar tuhan memberikan perlindungan baik di dunia apatah lagi azab di alam kubur. Kita dapat menghayati syair apabila membaca syair yang bertajuk “Jihad Umrah Sunat Pemula” seperti berikut :
Memulakan miqat di Ta’naeem
Dengan solat sunat 2 rakaat
Diriku dan kekasihku
Serta beberapa tetamu-Mu
Menuju Baitul Atiq-Mu
Sebelum kukitari rumah-Mu
Ku angkat tangan sambil berdoa
Alllah Yang Maha Agung (5X)
Tiada tuhan yang disembah dengan sebenar-benarnya
Melainkan Allah yang Maha Esa
Tiada sekutu bagi-Mu
Tiada tuhan memerintah segala sesuatu
Segala puji untuk-Mu
Dialah Tuhan Yang berkuasa atas setiap sesuatu
Aku berlindung daripada kekufuran
Aku berlindung daripada kemiskinan
Aku berlindung daripada azab kubur

(2008: 22)
Pengalaman penyair sewaktu diuji dengan cuaca yang sejuk ketika di Arafah sehingga menukarkan suasana yang panas menjadi sangat sejuk memberi kesan kepada pembaca bahawa kuasa Allah menentukan segalanya, penyair berdoa dengan menyebut sifat-sifat Allah serta menyerahkan segalanya kepada takdir. Syair “Doa di Bumi Arafah-Mu” pada bait 10 hingga 20 seperti berikut:
Apa yang termampu
Kupohon pada-Mu
Hidup dan matiku
Hanya untuk-Mu
Hanya kerana-Mu
Ya Aziz
Ya Qahhar
Ya Malik
Ya Khaliq
Aku redha dengan jihat ini
Aku pasrah dengan taqdir-Mu
(2008: 52)

Di halaman yang terakhir syair ini iaitu pada halaman 67, penyair banyak memanjatkan syukur kepada Allah kerana segalanya cita-citanya untuk menyempurnakan rukun Islam kelima telah dapat dijalankan dengan sebaik-baiknya dihamburkan dengan kata-kata yang penuh kesyukuran .
Diri kembali ke fitrah suci
Berkaca-kaca bercahaya-cahaya
Meliputi rohani jasmani
Meliputi rohani jasmani
Meliputi akal dan jiwa
Mentakmilah puncak jihad ini
Alhamdulillah
Moga jihad ini bukanlah
Al-khatimah hakiki
Masih terhimpun redupnya cinta abadi
Masih menggunung tingginya kasih sejati
Masih menguntum mawar saying hakiki
Buat-mu Ya Ilahi Rabbi
Buat-mu Ya Ilahi Rabbi
Maha suci
Maha suci
Maha suci
Maha suci
Maha suci
Maha suci
(2008: 66-67)


2. Prinsip Kerasulan sebagai Insan Kamil

Menurut Dr Shafie Abu Bakar, teori takmilah juga mempunyai pertalian dengan Rasulullah sebagai insan Kamil yang bererti manusia sempurna dalam falsafah pemikiran Islam bermaksud tergabung tiga-tiga konsep ideal keinsanan iaitu insan Kamil, insan Khalifah dan insan Rabbani (Dewan sastera, 1996:28). Ketiga-tiga konsep ini terbukti dalam sejarah Islam dimiliki oleh baginda Rasulullah yang mendapat gelaran al-Amin (yang jujur dan yang benar), al-Mustafa (yang terpilih) dan habibullah (kekasih Allah).

Rasullullah sebagai insan khalifah merupakan seorang pemimpin, pentadbir, hakim dan panglima perang. Baginda mempunyai peribadi yang mulia dan akhlak yang terpuji dengan segala sifat yang istimewa (mukjizat) dari baginda kecil hingga ke saat kewafatannya (Samsina Abd. Rahman, 2001: 17)

Penyair membawa tumpuan para pembaca dengan meletakkan puji-pujian kepada Rasulullah dalam syairnya yang bertajuk “Masjid Nabawi (i)” di mana beliau telah berselawat dan memuji-muji baginda sebagai insan kamil :
Setinggi-tinggi salawat buat kekasih-Mu
Ya Rasululah penuh kemulian
Ya Rasululah penuh kebekatan
Ya Rasululah penuh kekamilan


Kecintaan penyair terhadap Rasulullah dapat kita perhatikan dalam menafsir syair beliau yang mana penyair melafazkan selawat dan salam kepadanya dan memohon syafaat daripada rasulnya pada hari kiamat nanti, ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa penyair amat memahami konsep insan kamil yang dibawa dalam teori ini. Penyair melahirkan perasaannya melalui syair “ Masjid Nabawi (v)” dan “Masjid Nabawi (vii)
Selawat dan salam
Buat ya kekasih Allah
Selawat dan salam
Buatmu ya insan al-Kamil
Selawat dan salam
Buatmu ya rasul terakhir
Kupohon
Syafaat darimu – di sana nanti
Amin Amin ya Rabbal alamin
(2008: 9)
Di sini
Mulut seakan terkunci untuk yang lain
Bibir mengalir zikir
Bibir mengalir tasbih
Bibir mengalir tahmid
Bibir mengalir takbir
Bibir meluncur salawat dan salam
Bibir meluncur salawat dan salam
Buat Nabi Junjungan
Habibullah-Mu
Segala cinta dan rinduku
Hanya untuk-Mu ya Allah
Hanya untukmu ya kekasih Allah
Terimalah cinta dan jihad ini
Terimalah cinta dan jihad ini
Terimalah cinta dan jihad ini
(2008: 11)


Perasaan kasih dan sayang kepada Rasulullah bukan sahaja dengan baginda sahaja malah dengan seluruh kaum kerabatnya. Sewaktu melawat kawasan pemakaman keluarga dan sahabat Rasulullah dan digambarkan dengan ingatan bahawa nabi sering berdoa keampunan terhadap mereka di perkampungan Baqi, ini menunjukkan keistimewaan Rasul yang sentiasa berdoa demi kesejahteraan seluruh umatnya. Sayang Rasulullah terhadap umatnya dipaparkan dalam sirahnya , ketika hampir ajalnya nabi masih menyebut umatku,umatku, begitu sayangnya Rasulullah terhadap umatnya. Perasaan cintakan nabi dan keluarganya di interpitasikan dalam syair “ Al-Baqi al-Tayyibah”
Di samping rumah-Mu
Di sisi rumah kekasih-Mu
Telah bersemadi jasad-jasad suci
Di pemakaman Baqi
Antaranya ahlul bait, keluarga Rasulullah
(2008: 25)

3. Prinsip Keislaman yang Bersifat Akmal

Melalui prinsip ketiga teori Takmilah, Dr Shafie Abu Bakar (1996:29) ingin menjelaskan bahawa islam adalah sebagai agama yang sempurna dan mampu menyempurnakan segala aspek kehidupan manusia termasuk aspek bersastera. Karya yang terhasil dapat memainkan peranan kepada individu dan seluruh masyarakat agar dapat mempraktikkan segala ajaran Islam . Jelas beliau kesempurnaan Islam bukan sahaja mengenai konsep keimanan sahaja tetapi tentang praktik amalan dan mematuhi segala syariat Islam. Dalam Kumpulan Puisi “Puncak Jihad” ini jelas tergambar tentang pengalaman penyair sewaktu menunaikan haji yang dipenuhi dengan sembahyang, doa, selawat dan segala rukun ibadah haji yang lain akan kita lihat dengan contoh-contoh syair beliau di bawah ini. Penyair memanjatkan kesyukuran beliau dalam syair “ Kota Makkah Al-Mukarramah” setelah menjejakkan kaki ke Makkah, pengucapan kalimah syahadah juga memperjelaskan asas rukun Islam yang pertama diucapkan oleh beliau, bait-bait syairnya seperti berikut:
Menjejak bumi penuh kesucian ini
Merasai bumi penuh keberkatan ini
Menjamah bumi penuh kemuliaan ini
Bibir mengalir tahmid
Bibir mengalir tasbih
Bibir mengalir takbir
Dua kalimah syahadah terluah
Dua kalimah syahadah tercurah
Tiada kalimah yang lain terukir
(2008: 18)

Amalan bertawaf di Kaabah juga diperlihatkan oleh penyair sewaktu selepas menunaikan solat Maghrib dan Isyak dilihat dalam syair yang bertajuk “ Lorong-lorong Jihad”. Menunjukkan kepatuhan beliau kepada suruhan Allah.
Menuju ke pintu Malik Abdul Aziz
Menyahut pangilan suci-Mu
Menyahut seruan suci-Mu
Meneruskan kembara jihad rohani jasmani
Selepas Maghrib dan Isyak
Kukitari Baitul Atiq-Mu
Kukitari rumah-Mu ya Allah
Kukitari Ka’abah-Mu ya Rahman
Kukitari Baitullah-Mu ya Rahim
(2008: 21)

Bermiqat di Ta’naeem jelas digambarkan dalam syair “Jihad Umrah Sunat Pemula”. Penyair dan suaminya bermiqat dan solat sunat dua rakaat sebagai langkah mula menunaikan umrah.

Memulakan miqat di Ta’neeem
Dengan solat sunat 2 rakaat
Diriku dan kekasihku
Serta beberapa tetamu-Mu
Menuju Baitul Atiq-Mu
(2008: 22)
Amalan bersa’ie juga diceritakan dalam rakaman pengalaman penyair sewaktu mengerjakannya dan ia merupakan salah satu rukun haji dapat kita lihat dalam syair yang bertajuk “Ketika Bersa”ie Aku Bermunajat”.

Sesungguhnya safa dan marwah itu
Sebahagian daripada syiar (lambang) agama Allah
Maka sesiapa yang menunaikan ibadat
Haji ke Baitullah atau mengerjakan umrah
Maka tidaklah menjadi salah ia
Bersa’ie (berulang-alik) di antara kedua-duanya
(2008: 24)


4. Prinsip Ilmu Dengan Sastera Yang Bersifat Takamul


Konsep Takmilah boleh dilihat dalam hubungan sastera dengan ilmu yang mempunyai pertalian dengan fakulti diri yang penting khususnya akal dan hati. Dalam Islam, diterima bahawa akal adalah alat yang paling utama bagi mencapai keilmuan. Karya sastera dalam Islam bukan sahaja berbentuk hiburan tetapi boleh menyampaikan mesej pendidikan kepada pembaca dan yang pentingnya ia bukanlah sesuatu yang dibaca semasa senggang tetapi boleh mendidik serta mengingatkan kebesaran Allah S.W.T . Bagi membicarakan tentang prinsip keempat ini teori Takmilah dilihat dari hubungan puisi sebagai genre dan ilmu sastera dengan sejarah Islam khususnya Nabi Muhammad S.A.W, keluarganya, Nabi Ibrahim dan Keluarganya, tempat-tempat bersejarah, ilmu perubatan, keagamaan dan kerohanian.

Sejarah kerasulan Nabi Muhammad S.A.W cuba dibangkitkan oleh penyair dimana beliau terkenang akan sirah wahyu yang diturunkan kepada Baginda semasa sembahyang di Masjid Nabawi ini kita dapat lihat dalam syair “Raudhah Al-Mutahharah”.
Selepas solat subuh
Aku ke taman syurga-Mu
Taman penuh kemuliaan
Raudhah penuh kesucian
Raudhah penuh keberkatan
Terkenang detik turunnya
Wahyu kekasih-Mu
(2008: 6)


Proses kerasulan nabi-nabi jelas digambarkan dalam Surah An-Nahl ayat kedua yang dilihat proses kerasulan melalui wahyu yang dibawa oleh malaikat, petikan ini diambil dari tafsir Ar-Rahman;

Ia menurunkan malaikat membawa wahi dengan perintahNya kepada sesiapa yang dikehendakinya dari hamba-hambaNya (yang layak menjadi Rasul); (lalu ia berfirman kepada Rasul-rasulnya); “Hendaklah kamu menegaskan kepada umat manusia bahawa tiada Tuhan melainkan Aku. Oleh itu, bertakwalah kamu kepadaKu”
(1993: 629)


Unsur-unsur perubatan juga didapati dalam syair “Sumur Zamzam-Mu”. Penyair menyatakan tentang kebaikan air zam-zam sebagai penawar, penyembuh dan azimat kepada segala penyakit . Air Zam-zam juga dikatakan sebagai air yang penuh khasiat.
Zamzam-Mu
Adalah penawar-penyembuh-azimat
Adalah minuman penuh khasiat
Tak terbandingkan
Tak tertandingkan
(2008: 28)


Penyair juga tidak ketinggalan dalam menceritakan tentang sejarah yang terdapat di sana semasa mengejakan haji . Penyair cuba membawa pengalaman beliau menerusi syair “Bukit Kasih Sayang-mu” mengenai tempat pertemuan Nabi Adam dan isterinya Siti Hawa.

Setelah menerima kaffarah-Mu
Adam dan Hawa dipertemu
Di Jabal Rahmah-Mu
Penuh mesra
Penuh makna
Mencatat sejarah di bumi Arafah
(2008: 34)

Apabila penyair menjejakkan kaki ke Hudaibiyah beliau teringat tentang perjanjian Hudaibiyah yang menjadi punca perdamaian antara Islam dan Kaum Quraisy ini menjadi titik tolak jatuhnya Kota Makkah ke tangan orang-orang Islam, menerusi syair “Hudaibiyah dan Janji-Mu”.

Menjejak bumimu Hudaibiyah
Terpandang kebijaksanaan Rasulullah
Menghantar Uthman Affan
Berunding dengan Suhail Amru
Di bawah “Baiah al-Ridwan”
Termeteri perjanjian Hudaibiyah
Mencipta perdamaian Islam-Quraisy
Mencipta keharmonian tanpa perang
Setiap warga Arab bebas memilih
Islam atau penyembah berhala
Di sini dalam lawatan ini
Hanya tinggal sisa-sisa sejarah
(2008: 40)


5. Prinsip Sastera Sendiri yang Berciri Estetik dan Bersifat Takmilah

Menurut Shafie abu Bakar (1996: 29-30), prinsip ini dilihat dari dua aspek keindahan lahiriah dan keindahan maknawi. Aspek keindahan lahiri menyentuh soal teknik, bentuk, struktur dan gaya bahasa yang dapat dilihat secara luaran. Manakala aspek keindahan maknawi pula merujuk kepada mesej, pemikiran, sudut pandangan, dan falsafah yang tersirat di dalamnya. Tegasnya, prinsip ini menjurus kepada proses penciptaan dan pembinaan karya sastera secara kreatif, indah dan sempurna baik dari aspek dalaman mahupun luaran.

Hasil analisis terhadap puisi Puncak jihad ini kita dapati terdapat unsur penggunaan bahasa Arab ini kerana penyair banyak menggunakan laras bahasa doa yang sinonim
penggunaannya di kalangan masyarakat melayu khasnya. Misalnya penggunaan bahasa Arab seperti berikut:
1. Maha suci-Mu ya Quddus (2008: 1)
2. Subahanallah – Maha suci-Mu ya Allah (2008: 2)
3. Akhirnya kami menjejaki kota Tayyibah (2008: 3)
4. Alhamdulillah ya Rahman (2008: 4)
5. Raudhah penuh keberkatan (2008: 6)
6. Ya Rabbi (2008:8)
7. Amin ya Rabbal alamin (2008: 14)
8. Al-khatimah hakiki (2008: 67)

Penyair juga gemar menggunakan teknik perulangan dalam syair-syairnya ini menunjukkan kesungguhan beliau dalam memohon keampunan dari tuhan dan doa kepada anak-anaknya dapat kita lihat dalam syair-syairnya. Teknik perulangannya seperti berikut:
1. Aku datang menyahut panggilan-Mu ya Allah (2008: 2)
2. Hamba datang menyahut panggilan-Mu (2008: 2)
3. Terimalah cinta dan jihad ini (2008: 11)
4. Aku datang menyahut panggilan suci-Mu (2008: 17)
5. Maha Suci Allah Yang Esa (2008: 19)
6. Allah Yang Maha Agung (2008: 22)
7. Jadikan mereka anak-anak yang soleh (2008: 42)
8. Moga hajiku haji yang mabrur (2008: 63)
9. Buat-Mu Ya Ilaahi Rabbi (2008: 67)
10. Maha suci (2008: 67)

Penyair juga mengunakan unsur-unsur gaya bahasa yang menarik dalam menghiaskan syairnya supaya menarik dibaca. Penggunaan metafora digunakan untuk mengindahkan dan memberi kesan yang baik dalam syair beliau.

Kota penuh kemuliaan
Sejuta laut kesyukuran
Sejuta laut pujian
((2008: 3)




Dalam mendaki puncak jihad ini
Sujud sejuta kesyukuran
Lantaran peluang terbentang
Menziarahi taman syurga-Mu
Menyerahdiri keedilfakir
Mengabdi setaat seikhlasnya

Mengalunkan kalam-kalam-Mu
Di taman syuarga ini
Bersama mutiara-mutiara jernih
Menuju puncak insaf
Memasuki pinti taubat
Menyelami mada hakikat
(2008: 6)


Lemas dalam lautan manusia
(2008: 13)


6. Prinsip Kepada Pengkarya yang Seharusnya Mengistikamalkan Diri

Penghasilan karya sastera Islam yang sempurna lagi menyempurnakan akan terhasil sekiranya pengkarya melengkapkan diri dengan menguasai ilmu-ilmu keislaman dan ilmu-ilmu berhubung dengan sastera. Ilmu-ilmu keislaman dan merujuk bukan sahaja bersifat asas malah yang khusus dan mendalam serta seterusnya menerapkannya ke dalam kehidupan seharian. (Dr Shafie Abu Bakar, 1996: 30). Menurut Muhammad Kamal Hasan menjelaskan bahawa sastera Islam perlu lahir daripada sasterawan yang mempunyai jiwa keislaman.

Ilmu-ilmu Islam yang terdapat dalam jiwa penyair akan memberinya ruang yang baik dalam menjiwai karya-karya yang berunsur keislaman. Penyair dalam karya ini merupakan dibesarkan dalam satu keluarga yang mengamalkan dan mempratikkan ajaran Islam dimana ayahnya seorang tokoh pendakwah yang terkenal di kawasannya, telah berjaya meniupkan roh keislaman kepada setiap anak-anaknya.

Penyair banyak mempraktikkan segala ajaran oleh ayahandanya dalam bicara puisinya. Penyair juga pakar dalam ilmu kesusasteraan Islam di mana dalam tesis Ph D, beliau telah menggunakan teori Takmilah yang dikemukakan oleh Dr Shafie Abu Bakar untuk menganalisis unsur-unsur tasawuf dalam puisi-puisi Melayu moden di Malaysia dan Indonesia sepanjang dekat 1970 hingga 1990. contoh-contoh syair yang membuktikan pengarang telah mengistikmalkan dirinya dengan segala ilmu yang perlu dalam menghasilkan puisi “Puncak Jihad” ini ialah:
Maha Suci-Mu ya Quddus
Maha Agung-Mu ya Azim
Maha Pemurah-Mu ya Rahman
Maha Pengasih-Mu ya Rahim
Pabila sampai saat ini
Permudahkan kembaraku ke puncak jihad-Mu
(2008: 1)


Alhamdulillah ya Rahman
Alhamdulillah ya Rahim
Subhanallah ya Qahhar
Subhanallah ya Razzaq
Subhanallah ya Kamal
(2008: 4)


Buatmu ya Rasul terakhir
Kupohon
Syafaat darimu – di sana nanti
Amin amin ya Rabbal alamin
(2008: 9)



Satu lagi ciptaan-Mu perlu diperhati di Baitul Atiq
Hajar Aswad-Mu
Yang menjadi hitam lantaran
Dosanoda umat-Mu
Ya Allah – bersihsucikan diri sesuci-sucinya
(2008: 27)



Penyair juga seorang anak, seorang isteri dan seorang ibu sentiasa menginginkan kesejahteraan buat kaum keluarganya, tidak berhenti-henti berdoa agar rahmat Allah sentiasa menyelubungi diri dan keluarganya. Pengistikmalan diri dapat digarap dalam doa-doa nya seperti berikut:

Demi melangit luas
Rahmat dan kasih sayang-Mu
Jadikan diriku muslimat sejati
Jadikan diriku isteri terpuji
Jadikan diriku ibu mithali
Jadikan diriku hamba hakiki
Amin Amin ya Rabbal alamin
(2008: 8)



Daku berdoa sekhusyuknya
Ampunilah segala dosaku
Ampunilah segala dosa ibubapaku
Ampunilah segala dosa putera-puteraku
Ampunilah dosa seluruh umat Islam
(2008: 14)


Ku pohon
Moga cinta kasih sayangnya
Kekal seabadi cinta-Mu
Kerana aku dan dia adalah
Milik-Mu jua
Amin
(2008: 20)


7. Prinsip Khalayak bertujuan memupuk Mereka ke Arah Insan Kamil

Prinsip akhir teori Takmilah adalah menentukan penghasilan sesebuah karya sastera perlu sampai kepada khalayak dan ia benar-benar serasi dengan kehendak dan kepentingan sastera Islam. Matlamat dalam prinsip terakhir ini adalah bertujuan untuk memupuk khalayak pembaca ke arah pembentukan insan kamil iaitu mencontohi peribadi terpuji dan akhlak mulia baginda Rasulullah S.A.W.

Penyajak telah berjaya merakamkan karyanya semasa beliau dan suaminya menunaikan haji, dalam catatan pengalaman semasa mengerjakan haji itu beliau telah berjaya meluahkan perasaan kecintaannya terhadap Allah, Rasulnya. Segala luahan perasaan telah diterjemahkan dalam karyanya yang diberi nama “Puncak Jihad” ini jelas tergambar apabila kita membaca setiap bait-bait sajaknya yang penuh dengan doa-doa memohon keampunan dari Allah.

Kepakaran dan kefahaman penyair terhadap teori Takmilah ini membawa para pembaca dapat menghayati teori ini dengan lebih jelas apabila saat mula membaca hinggalah selesai. Tidak terlalu sukar untuk kita memahami tentang teori ini kerana hampir setiap syairnya mengandungi terjemahan teori ini. Catatan pengalaman beliau dari saat mula untuk menunaikan fardu haji tersusun hinggalah beliau selesai menunaikannya amat menarik perhatian pengkaji apabila catatan dibuat hampir setiap hari dengan penuh teliti.seperti membaca sebuah novel.

Tegasnya karya ini memiliki sifat memupuk pembaca ke arah menjadi insan kamil bukan sahaja kerana teorinya tetapi jiwa penyair yang mempraktiknya dalam mengerjakan ibadah haji amat mengkagumkan pengkaji.

Kesimpulan

Hasil analisis terhadap syair Kumpulan puisi Anismas Ar “Puncak Jihad” ini mendapati bahawa segala elemen-elemen yang terdapat dalam teori Takmilah terdapat dalam sajak ini dan ia berjaya mengungkapkan konsep ‘kesempurnaan’ dalam karya ini. Justeru dengan itu dapat dikatakan kumpulan syair (Puncak Jihad) ini boleh dikategorikan sebagai sebuah karya sastera Islam, kerana menepati konsep Takmilah.

Keakuran dan kesebatian penyair dengan ajaran Islam jelas menunjukan bahawa karya yang dihasilkan bukannya suatu karya yang cuba dibuat-buat kerana tanpa kefahaman tentang ajaran Islam yang mendalam, tidak memungkinkan pengkarya boleh menghasilkan suatu karya sebaik ini.

Prinsip Ketuhanan yang Bersifat Kamal (sempurna) telah dibawa dengan cukup jelas dan baik dalam hasilan beliau, di mana banyak hasilan dari syair ini memuji-muji Allah dengan memperlihatkan sifat-sifat Allah yang amat sempurna melalui doa-doa penyair yang mengharapkan keampunannya.

Prinsip Kerasulan Sebagai Insan Kamil juga dapat kita lihat dengan jelas dalam karya ini. Kecintaannya terhadap Rasulullah dapat dibuktikan dalam doanya dan memohon agar diberi syafaat di akhirat nanti. Perasaan kagumnya juga terhadap kecekalan nabi Ibrahim dan anaknya Ismail yang ikhlas mengabdikan diri dan sanggup berkorban untuk mendapat keredaan Allah .

Prinsip Keislaman yang Bersifat Akmal juga berjaya diterapkan dalam karya ini, di mana penyair berjaya mempraktikkannya dalam mengerjakan ibadat haji seperti bersembahyang, berdoa, berzikir, dan segala rukun haji diterangkan di dalamnya dan ia menepati ciri-ciri insan Kamil.

Prinsip Ilmu Dengan Sastera yang Bersifat Takamul yang tertumpu kepada konsep ilmu sastera yang dapat menyempurnakan ilmu-ilmu lain boleh kita lihat dalam syair tersebut contohnya terdapat sirah Nabi Muhammad, Nabi Ibrahim, Nabi Adam, perjanjian Hudaibiyah serta ilmu sains tentang kebaikan atau kegunaan air Zamzam yang boleh menjadi penayar segala penyakit.

Prinsip Sastera Sendiri yang Berciri Estetik dan Bersifat Takmilah dilihat dari aspek keindahan lahiran dan maknawi. Penyair berjaya menghiasi hasilannya dengan cara yang cukup puitis dengan menggunakan pelbagai teknik gaya bahasa yang baik supaya pembaca dapat menghayati keindahan syairnya.

Prinsip Kepada Pengkarya yang Seharusnya Mengistikamahkan Diri dapat kita fahami apabila membaca puisi tersebut dan disitulah terbitnya kefahaman pembaca terhadap pengetahuan dan keilmuan penyair terhadap ajaran Islam. Sesungguhnya kefahaman tentang Islam telah meresapi setiap bait-bait syairnya.

Prinsip Khalayak Bertujuan Memupuk Mereka ke Arah Insan Kamil telah berjaya diselitkan dalam karya ini dengan sempurna, ini kerana penyair telah berjaya membuka minda pengkaji dan juga pembaca dengan menerapkan perasaan kecintaan terhadap Allah dan Rasulullah, serta berjaya mempraktikkan dengan amalan-amalannya. Kesimpulannya syair “Puncak Jihad” memiliki ciri-ciri yang sempurna yang melayakkannya dikategori sebagai sebuah karya sastera Islam kerana terdapat elemen-elemen tauhid, syariat,akhlak dan ilmu-ilmu lain.



Bibliografi

Samsina Abd Rahman.Puncak Jihad (Kumpulan Puisi Anismas ar).Selangor: Universiti
Putra Malaysia, 2008.


SheikhAbdullah Basmeh. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman kepada pengertian Al-Qur’an.
Kuala Lumpur : Bahagian Hal Ehwal Islam Jabatan Perdana Menteri, 1992.


Mohamed Anwar Omar Din. Sastera Islam Citra Nurani Ummah.Selangor: Universiti
Kebangsaan Malaysia, 2005.

1 comment:

  1. dimana boleh dapatkan bahan bacaan penuh teori takmilah ini

    ReplyDelete