Friday, April 17, 2009

Analisis novel Salju Sakinah

Analisis novel ‘Salju Sakinah’

Keperibadian manusia dibentuk oleh sekeping hati. Sifat seseorang yang memiliki hati yang tulus, bersih, dan murni. Sifat terpancar pada wajah dan perlakuannya. Begitulah sebaliknya. Menurut A. Talib Naiem al-Haj as-Saufi, hati merupakan roh yang berperanan agen pengawal kepada komponen tubuh manusia. Lidah misalnya petah menuturkan sesuatu ialah kerana gerak rasa yang terbit dari hati. Justeru itu Rasulullah S.A.W menyatakan, dalam diri manusia ada seketul daging. Manakala daging itu baik maka baiklah seluruh anggota lahir manusia itu. Jika seketul daging itu rosak, maka seluruh anggota lahir manusia itu akan rosak. Itulah ia hati (kalbu)

Melihat kepada hakikatnya, maka hati akan disorotkan sebagai wahana yang memberikan sifat pada perlakuan dan keperibadian kepada beberapa watak yang digarap oleh pengarang muda Zaid Akhtar dalam novel Salju Sakinah. Berdasarkan teori psikologi analisis novel ini merujuk kepada konsep hati yang digariskan oleh islam untuk membentuk personaliti. Struktur personaliti yang diterajui oleh tiga kompenen penting iaitu id, ego dan superego akan diterjemahkan dari sudut sosial, budaya, agama, ekonomi, dan politik. Hal ini diketengahkan kerana hati merupakan suatu persoalan yang universal. Disamping itu juga dalam membentuk personaliti seseorang, setiap bangsa dan agama mengajar penganutnya melakukan hal yang sama iaitu memelihara hati.

Nilai sosial
Sumayyah merupakan fokus utama di dalam karya tersebut diadun dengan personaliti yang utuh sebagai seorang beliawanis, wanita muslim,mahasiswi dan anak solehah oleh pengarang menjadi tunggak yang wajar ditauladani. Dalam menggambarkan peribadi Sumayyah, pengarang meletakkannya sebagai seorang pendakwah yang gigih di tengah-tengah masyarakat yang semakin hilang jatidiri, longgar ikatan ukuwwah, tercela sahsiah diri dan mudah terpesong akidahnya. Kegigihan sumayyah bertindak mengawal personaliti berdasarkan pemikiran yang rasional dan waras mengangkat martabat pendakwah di sisi masyarakat. Peranan sebagai penyeru ke arah kebaikan bukan suatu tugas yang mudah, apatah lagi untuk mengajak masyarakat yang semakin hanyut dengan sifat mazmumah seperti dengki, iri hati, benci, dan dendam. Pengarang memartabatkan watak Sumayyah dengan tenaga eksekutif superego untuk berhadapan dengan masyarakat dalam menyampaikan dakwah kepada umum. Justeru itu, Sumayyah dilihat berjaya ditonjolkan oleh pengarang sebagai idola masyarakat, pembimbing rakan sebaya, pendakwah dan anak solehan. Sumayyah mampu mengawal emosinya dan bertindak dengan rasional apabila diserang dengan cemuhan dan fitnah yang dilemparkan oleh Zaleha yang telah hilang pertimbangan akal dan didorong oleh komponen biologi id. Berikut adalah situasi, Sumayyah telah dimaki dan diherdik oleh jirannya yang bernama Zaleha, kerana terlalu cemburu dan benci terhadap Sumayyah yang disangka cuba memikat suaminya. Pengarang telah membiarkan watak Zaleha dikuasai oleh nafsu amarah dan benci sehingga bertindak diluar kawalan kewarasan yang sewajarnya.

“Tak payah! Tak payah berpura-pura nak buat baik dengan aku.” “Err, kenapa ni, kak? Kalau ya pun jemputlah masuk dulu.”Dia cuba berselamba biaurpun dalam hati tertanya-tanya apa kesalahannya.“ Tak usah berlagak baik depan aku. Tak padan dengan mengaji agama tinggi-tinggi. Gatal merenyam! Kau ingat aku tak tahu niat kau?”Darah Sumayyah menyirap.Mulut celupar itu layak ditampar. Namun emosinya masih dalam kawalan.
Halaman 325

Kesabaran dan ketabahan Sumayyah menghadapi maki hamun jirannya yang cemburu buta menunjukkan semangat kejiranan dan menghormati antara satu sama lain masih utuh di tengah-tengah masyarakat yang mengalami masalah sosial yang meruncing. Dalam kehidupan masyarakat dewasa ini masih tersisa minoriti yang mengalami penyakit hati atau dengan kata lain jiwa yang kering dan jauh dari hidayah . Hakikatnya amat sukar untuk mengikis dan mendidik hati yang telah dikuasai oleh nafsu amarah, dendam, dan benci. Fitnah dan mengumpat masih menjadi tradisi masyarakat yang rendah tahap pendidikan,bertindak berdasarkan emosi untuk kepuasan diri. Begitu juga moral masyarakat yang kian terhakis dengan keruntuhan akhlak sehingga mengaibkan agama, bangsa dan masyarakat itu sendiri. Pengarang juga telah mendedahkan siapa sebenarnya Mansor suami kesayangan Zaleha, yang dikatakan cuba dipikat oleh Sumayyah. Peristiwa ini masih berlaku pada masyarakat hari ini, berjaya diterokai oleh pengarang muda dengan plot yang sangat menarik dan memberi pengajaran yang amat bermakna kepada pembaca.

“ Mansor khabarnya didapati berzina dengan seorang perempuan India dalam taman bunga. Mungkin mereka tidak terus balik lepas tengok konsert artis sempena bulan merdeka tengah malam tadi.” Fuad menghela nafas. “Masa kena cekup tu, orang kata, masih bertindihan lagi dan tak pakai apa-apa. Yang malunya, kedua-duanya melekat, tak boleh nak tanggal dan terpaksa dkejarkan ke hospital untuk dipisahkan.”
Halaman 462.

Kemelut sosial yang berlaku di dalam masyarakat digarap dengan berkesan sehingga pembaca tidak terkejut dengan peristiwa ikhtibar yang memalukan. Keinginan atau hasrat yang negatif sering muncul di bawah sedar manusia, menggodanya dan menyebabkan manusia putus daripada akar rasionalnya. Mansor sebagai pendukong watak hitam dibina oleh pengarang dibiarkan mendak di dalam takungan akal bawah sedar, yang kemudian kembali bertindak diluar kawalan kewarasan akal. Keadaan ini dikuasai oleh kedudukan id, ego dan superego. Dalam konteks binaan personaliti muslim, hal ini diterjemahkan sebagai nafsu amarah, nafsu lawamah dan nafsu mutmainah yang turut mempengaruhi qald,nafs dan jiwa. Justeru itu pengarang berjaya membina watak hitam dengan memenuhi kehendak id atau pleasure principle, berseronok demi memenuhi kehendak naluri dan id yang dikatakan full of devil. Kepincangan sosial masyarakat yang melanda, menarik perhatian Sumayyah sebagai pendakwah, berusaha mengajak masyarakat dan lingkungannya dengan mengadakan ceramah, kuliah agama, bacaan yassin serta majlis-majlis ilmu. Situasi ini meninggalkan impak yang baik untuk mengembalikan keharmonian masyarakat, mengeratkan ukhwah dan sikap sayang-menyayangi antara sesama makhluk.

Nilai budaya
Sekali lagi, pengarang membina watak Sumayyah sebagai idola yang menjunjung budaya bangsa, agama serta memelihara peradaban dan tatasusila. Sebagai seorang mahasiswi yang menuntut di Timur Tengah dalam pengajian syariah, walaupun terpisah jauh dari keluarga Sumayyah tetap berpegang teguh dengan adat ketimuran, baik dalam pergaulan, berpakaian, tutur bicara dan kesantuan masih menjadi jati diri. Berpaksikan hukum dan pegangan, Sumayyah sentiasa mengenakan busana yang melambangkan muslimah sejati, menjaga tutur bicara dan mengawal pergaulan agar tidak tercela dengan tipu daya syaitan di samping tidak melanggar adat dan norma ketimuran. Tuntutan ini di ketengahkan oleh pengarang pada setiap gerak dan bicara sumayyah. Malahan, pengarang turut mewarnai watak Asmawiyah dan Aziyan sebagai gadis melayu yang berpegang teguh dengan budaya dan nilai ketimuran. Kesantunan dan kesopanan masih menjadi tunjang dan tonggak kehidupan masyarakat walaupun arus kemodenan semakin mengikis dan menjajah minda.Di samping kehalusan budi watak utamanya, kita juga diperlihatkan dengan keindahan budi dan lemah lembut gadis melayu seperti situasi berikut :

“ ketara, Asmawiyah dan Aziyan masih lagi patuh dengan nilai kemelayuan. Baju kurung yang dipakai oleh kedua-dua gadis itu buktinya. Tegal kini semakin jarang anak gadis melayu mengenakan baju kurung ke mana-mana.”
Halaman 322-323
Sementara itu pengarang juga memaparkan tatasusila dan perilaku dalam pergaulan antara lelaki dan perempuan demi menjaga martabat bangsa dan agama. Begitu juga pengarang menterjemahkan percintaan berpaut kepada akidah dan syariah. Percintaan terlihat bagaikan metafora , yang berfungsi dalam wahana keagamaan, yang menolak keghairahan dan berahi, sebaliknya berpaksikan pada mahabbah cintakan ilahi. Cinta yang berpaksikan nafsu semata-mata, pastinya bukan saja menodai adat dan budaya malah mengundang bala dan kemurkaan Allah Taala. Hal ini diperjelaskan oleh pengarang melalui watak Yusra yang telah membelakangi adat resam serta menodai kesucian agama.
“Kini jiran baik mereka itu hanya tinggal berdua setelah Yusra terpaksa menangguhkan pengajiannya untuk melahirkan anak yang tidak pernah diminta. Sumayyah masih ingat, dialah orang yang mula-mula diberitahu oleh Yusra tentang kehamilannya dalam pertemuan di Masjid Hussein dulu. Tetapi kala itu segalanya telah terlewat. Yusra terpaksa menerima padah kedegilannya dan keterlanjuran perbuatannya yang ditegah agama dan adat.”
Halaman 492

Pengarang membina watak Yusra yang gagal bertindak dengan berpandukan akal yang waras dan prinsip moral superego, sehingga menodai budaya ketimuran, adat,dan hukum tuhan semata-mata menuruti kehendak id dan naluri.

“Inilah penyakit umat akhir zaman, Mai. Yang terbaru, jangan terkejut, program realiti TV berbentuk pencarian suami ada pertukaran isteri pun mendapat tempat”
Halaman 267


Nilai agama atau moral.

Pengarang Salju Sakinah memaparkan kemuliaan agama dan kesantunan moral kepada pembaca sebagai ikhtibar dan pedoman. Sumayyah yang menjadi fokus utama di dalam novel tersebut diangkat sebagai wanita pendakwah, sebagai contoh muslimah yang menjunjung keimanan, berpaksikan al-quran dan hadis, namun diuji dengan permainan yang cukup menyentuh jiwa dan iman. Dalam kecanggihan dunia global tanpa had sempadan masih terdapat insan yang terpesong akidahnya, percaya kepada perkara khurafat dan bertuhankan makhluk lain. Bagai duri dalam daging, itulah hakikat yang harus ditempuhi oleh Sumayyah yang gigih mengajak manusia kearah kebaikan, malangnya saudara kandungnya Safiah dan abang iparnya terpesong jauh dari jalan kebenaran. Suatu jihad yang perlu dipikul oleh Sumayyah untuk mengembalikan saudaranya ke jalan yang benar. Bukan mudah untuk menzahirkan kebenaran kepada manusia yang telah jauh tersesat dari hidayah Allah. Manusia yang mengagungkan sesuatu yang lain selain daripada Allah Taala adalah sesuatu yang sangat hina dan merupakan dosa yang tidak akan mendapat pengampunan dari Nya. Pengarang telah menghukum watak-watak seperti Jasman, Tok Ayah dan Tahir yang bertuhankan syaitan dan nafsu dengan kematian yang sungguh azab. Situasi berikut diutarakan oleh pengarang untuk menggambarkan musibbah yang menimpa watak-watak hitam yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain.


“Tiba-tiba kilat memancar di belakang kami. Saya terperanjat dan hampir terlompat, spontan saya menoleh ke belakang. Saya nampak petir merah menyala menyambar mereka bertiga dan dua batang pokok kayu diikuti dentuman yang sangat kuat. Ia berlaku dalam tiga empat saat tapi saya nampak Tok Ayah menggelupur macam terkena karan, menjerit-jerit sebelum terpelanting ke dalam semak. Jasman dan Tahir rebah di situ juga. Saya tertiarap kerana terlalu takut dan terkejut. Mahat memeluk saya. Kami berdua terkencing di dalam seluar,” tambahnya lagi membalas segala pertanyaan dia dan salbiah.
Halaman 430.

Di samping itu juga pengarang mewarnai watak Sumayyah dengan nilai-nilai keislaman yang sejati, muslimah yang sentiasa bersyukur, insaf, sentiasa muhasabah dan menerima qada’ dan qadar dengan ikhlas hati. Kehilangan orang yang tersayang , kegagalan dalam ujian akhir yang sangat penting dan cintanya dikhianati, diterima dengan penuh keinsafan dan redha malah keimanan dan ketaqwaan menyemai dalam jiwanya. Situasi ini, menunjukkan intektualisasi Sumayyah menghadapi saat-saat yang menyedihkan.Yakin dan percaya pasti terselindung seribu rahmat dan rahsia disebalik musibah tersebut. Di samping itu, watak-watak seperti Fatihah, Hakimah, Marianis, Izzati, Nazura, ustazah Samihah dan lain-lain lagi diangkat oleh pengarang sebagai wanita muslim berperibadi unggul dengan impak yang sungguh baik. Rentetan dari itu, pengarang juga mengasuh jiwa pembaca dengan mengutarakan ayat-ayat al-Quran, doa, hadis nabawi, kata-kata pujangga dan kata-kata hikmah sebagai santapan rohani.

Nilai ekonomi
Sumayyah bukan saja diwarnai sebagai muslimah , pendakwah atau mahasiswi tetapi pengarang bijak mengadunkan watak tersebut menjadi seorang usahawan yang berani menyambung perjuangan ayahnya. Sembilan persepuluh sumber rezeki adalah datangnya daripada amalan muamalat. Justeru itu pengarang bertindak mengabadikan tradisi dan sunnah tersebut pada watak Sumayyah.
“Mana boleh tak fikir lagi, mesti fikir. Bagi saya , tak ada salahnya Sumayyah teruskan usaha arwah Haji tu. Berniaga ni sunnah nabi juga, kan hajah?
Halaman 220

Berdasarkan teori psikologi, pengarang mencipta imej Sumayyah yang tidak berpengetahuan langsung tentang selok belok perniagaan, namun naluri ingin tahu, yang dikuasai oleh prinsip ego, mendorongnya belajar dan menimba pengalaman daripada pembantunya.
“Hasratnya untuk belajar mengendalikan Desa Wali dan dia mesti cepat belajar. Namun siapa lagi yang berupaya mengajarnya selain lelaki berjanggut pandak itu. Hanya Muazam satu-satunya pekerja yang tahu hampir semua perkara.”
Halaman227

Naluri ingin tahu atau kemahuan yang menebal dalam diri Sumayyah menonjolkan personaliti sebenar Sumayyah yang tidak rasa malu dan tidak pernah jemu menuntut ilmu walaupun dia berada dalam golongan orang yang berpendidikan tinggi, di samping sikap cintakan ilmu samada ilmu ukhrawi ataupun duniawi demi kepentinga bangsa dan agama. Justeru itu tidak hairanlah pengarang mampu menghidupkan jiwa seorang Sumayyah sebagai usahawan yang gigih menghadapi cabaran dan saingan di dalam industri yang penuh cabaran itu.

Nilai politik
Merujuk kepada nilai politik pengarang sering kali, menyajikan beberapa permasalahan dunia global yang sering berlaku seperti perkembangan perang di Timar Tengah, kezaliman Israel terhadap penduduk Palestin, krisis politik di Iraq. Secara tidak langsung Sumayyah yang menuntut di bumi isra’,terdedah dengan lebih dekat lagi situasi politik yang sentiasa bergelora. Malahan, terdapat rakan kuliahnya yang menerima musibbah dan menderita kerana krisis politik yang melanda bumi isra. Wafa seorang gadis Arab berkulit cerah, berketurunan palestin tidak terkecuali menjadi mangsa pergolakan politik. Kerisauan sentiasa menerjah jiwanya, sukar dilontar jauh kerana ancaman kekejaman sentiasa bermain di hadapan mata,kerisauan realiti ini jelas digambarkan oleh pengarang dalam mencipta watak Wafa. Begitu juga dengan watak seperti Hayya pelajar sarjana yang berasal dari Iraq mengalami trauma. Dari sudut psikologi, mangsa peperangan akan mengalami trauma dan tekan yang kritikal dan kadang kala,sebagai manusia yang libidonya sering diruntun, sekali-sekala terdapat virus hipokondriakal, penyakit kemurungan dan tertekan. Meskipun menerima pelbagai tekanan dan tindakan kekejaman, penduduk Palestin tidak jemu-jemu berjuang dan berharap suatu hari nanti bumi mereka bebas dari penjajahan. Hal ini dapat dilihat melalui teknik imbas kembali yang menceritakan mangsa persengketaan dan pergolakan bumi Palestin.
“ Ingatannya juga mengimbas wajah Wafa gadis berbangsa Palestin yang bertandang ke rumahnya petang tadi.Parasnya yang sering berseri ceria tampak murum sungguh. Senyumannya yang selalunya bersaring madu bagai tidak bergula.”
Halaman 62.


Rumusan
Karyawan sastera adalah cerminan kepada masyarakat. Pengarang tidak menghasilkan sesebuah karya dalam ruang yang kosong. Hippolyte Taine, pernah menegaskan bahawa sastera adalah cerminan tiga unsure penting iaitu masa, masyarakat dan alam sekeliling. Apa-apa yang tercerna dalam sesebuah karya sastera tercetsu daripada pengalaman dan pengetahuan , yang diadun pula dengan kreativiti, imagimasi dan wawasan seseorang pengarang. Fenomena yang berlaku di persekitaran pengarang akan membekalkan bahan untuk dikarya dalam bentuk realiti kreatif. Manakala, menurut Hamzah Hamdani (1988:83) sasterawan ialah manusia biasa yang hidup dan menjadi anggota dalam masyarakatnya. Berikutan dari itu, sastera pada alaf baruini tidak lagi berfungsi sebagai hiburan, pendidikan dan kritikan sosial semata-mata, sebaliknya karya sastera juga mengandungi sensitiviti,emosi, wawasan dan harapan pengarang. Dengan kata lain karya sastera menjadi wadah seseorang pengarang melaksanakan jihad mereka seperti yang diketengahkan dalam novel Salju Sakinah garapan karyawan muda Zaid Akhtar, sarat dengan pergolakan jiwa manusia yang meniti kelangsungan kehidupan. Walaupun seribu permasaalah yang melanda namun ditangani dengan waras dan pertimbangan yang sewajarnya. Salju Sakinah novel islami yang disulami dengan nilai-nilai murni digarap dengan lenggok yang indah mampu memberi impak yang berkesan kepada pembaca dalam mengatur tindakan dan membina peribadi unggul sebagai khalifah di bumi fana.
Setiap peristiwa yang dibangunkan ada makna-makna siratannya, ditambah lagi dengan bahasa yang sederhana,bersih dan juga jernih, pengkaji berpendapat pengarang adalah seorang yang pintar menguasai sistem-sistem tanda karya. Seusai meneroka Salju Sakinah, pengkaji mendapati novel ini berupaya menjadi cerminan peribadi untuk mencari nilai diri dan mencari keredhaan Illahi


Bibliografi

Eagletton, Terry, (terjemahan Muhammad Haji Salleh), 1988. Teori Kesusasteraan Satu
Pengenalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hamzah Hamdani(Penyelenggaraan).1988. Konsep dan Pendekatan sastera. Kuala
Lumpur,Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ilias haji Zaidi, 1986, Kesusasteraan Melayu Moden Jilid 1: Novel, Selangor. Fajar Bakti
Sdn.Bhd.

Malik b. Badri,1989. Konflik Ahli Psikologi Islam (Terjemahan oleh Fadlullah Wilmot)
Petaling Jaya: IBS Buku Sdn.Bhd.

Mana Sikana,2008,Teori Sastera Kontemporari :Edisi III, Bdr Baru bangi, Pustaka
Karya.

Rahman Shaari,1988, Kritikan Sastera Melayu, Pendekatan dan pemikiran:Kuala
Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Raman Selden,1989, Teori Kesusasteraan Sezaman (terjemahan Umar Junus ).Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Roger Webster, 2004,Mengkaji Teori Sastera Suatu Pengenalan Edisi :II( terjemahan
Shamsuddin Jaafar ) Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zaid Akhtar,2008. Salju Sakinah.Kuala Lumpur: PTS Millennia Sdn. Bhd.

Hashim Ismail.Tragedi,Peristiwa dan Hikmah. Analisis Dalam Majalah Dewan Sastera,
halaman 70 – 73. Kuala Lumpur.

Rahman Shaari. Penekanan keinginan dalam Karya.Analisis dalam Majalah Dewan
sastera, halaman 72-75 April, 2003.Kuala Lumpur.

Che Abdullah Che Ya,Suara Kemanusiaan .Analisis dalam Majalah Dewan Sastera ,
Halaman 71-74 Julai , 2005

1 comment:

  1. Tuan,
    Terima kasih kerana sudi mengupas secara panjang lebar novel yang seadanya ini.

    salam hormat,
    zaid

    ReplyDelete