Thursday, September 10, 2009

JENIS-JENIS KRITIKAN SASTERA

PENGENALAN

Pengkritik sastera bertanggungjawab menghuraikan pengalaman pembacaannya sesudah menghayati dan memahami sesuatu karya sastera. Tulisan kritikan sastera menampilkan pengalaman dan pengetahuan pengkritik yang berusaha sacara objektif menghuraikan, mentafsir dan memperjelaskan nilai teks atau karya sastera. Pengkritik yang baik dan berwibawa dalam usaha meletakkan nilai sesuatu karya itu, mengetahui poetika pengarang. Sastera dan kritikan sastera saling memerlukan dan saling melengkapi dalam meningkatkan dan memertabatkan kesusasteraan bangsa.
Othman Puteh menyatakan bahawa di Malaysia terdapat enam ciri-ciri kritikan sastera iaitu kritikan sanjungan, kritikan teguran, kritikan saranan, kritikan pendekatan, serta kritikan penganalisisan dan penilaian.

CIRI-CIRI KRITIKAN DALAM KESUSASTERAAN MELAYU

KRITIKAN SANJUNGAN
Sanjungan bermaksud menghargai, meletakkan sesuatu pada tempat kedudukan yang mulia. Manakala kritikan sanjungan bermaksud memuji karya dan pengarangnya yang menyerlahkan pemikiran bernas, di samping menampilkan elemen dalaman karya yang baik dan menarik.
Kritikan sanjungan ini diterjemahkan dalam esei Othman Puteh iaitu “Pemikiran Dalam Novel Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman” di mana beliau telah memuji pengarang yang berjaya membawa satu pemikiran yang bernas.
KRITIKAN TEGURAN
Kritikan teguran bermaksud pengkritik cuba memperlihatkan kekuatan dan kekurangan sesebuah karya sastera. Aminuddin Baki merupakan pelopor kritikan ini apabila beliau mengkritik karya Keris Mas iaitu melalui novel Korban Kesuciannya.
Dalam kritikannya itu beliau telah memperkatakan tentang plot cerita bergerak seperti aliran sungai hingga tidak dapat ditentukan pendirian watak-watak dalam novel tersebut. Gaya bahasa pengarang yang banyak dipengaruhi oleh bahasa Inggeris juga tidak terlepas dari kritikannya, namun begitu beliau juga memberikan beberapa saranan untuk memperbaiki karya tersebut.

KRITIKAN PENGANALISISAN
Kritikan penganalisisan bermaksud pengkritik meneliti dengan mendalam sesebuah karya sastera untuk mendapatkan beberapa maklumat tentang pemikiran, tema, persoalan, teknik penceritaan, bagi menentukan karya sastera.
Menurut Othman putih, pengkritik penganalisisan perlu menguasai bidang iaitu menguasai teori yang ingin diaplikasikan dan memiliki ilmu bantu yang mantap agar analisis yang ingin dilakukan benar-benar menepati dan mencapai matlamat atau konsep yang dipilih.

KRITIKAN PENILAIAN
Kritikan penilaian bermaksud pengkritik menilai sesebuah karya sastera, melihat dari segi isi atau mesej yang hendak disampaikanoleh pengarang. Hasilnya dapat dilihat keistimewaan dan kekurangan karya sastera tersebut.
Menurut Othman Putih pengkritik harus bijaksana, adil dan saksama serta memberikan hujah yang relevan dan konkrit sebelum memberikan justifikasinya. Pengkritik juga dituntut mengetahui dan memahami banyak aspek tentang pengarang yang menghasilkan karya, subjek yang dibincangkan, persekitaran, ras dan waktu yang dipaparkan. Seperti novel Salina hasilan A Samad Said merupakan novel yang istimewa tetapi ia merupakan sebuah cerita yang tidak cukup menawan dan pada keseluruhannya tidak mencapai mutu sastera yang agung.

KRITIKAN SARANAN
Kritikan saranan bermaksud cadangan sesuatu perkara dalam sesebuah karya sastera untuk dimantapkan. Pengktirik memberi saranan agar pemikiran, persoalan, tema, teknik penceritaan, watak, dan perwatakan dan sebagainya dimantapkan dalam sesebuah karya.
Menurut Othman Putih , kritikan Aminuddin Baki terhadap novel Korban Kesucian karya Keris Mas menepati kehendak kritikan saranan, malah menegur dan member saranan positif tentang unsure keratif seperti gaya bahasa, plot, teknik dan watak serta perwatakaan. Ianya dilaksanakan bertujuan untuk memperbaiki hasalin novel agar lebih berjaya.

KRITIKAN PENDEKATAN
Kritikan pendekatan bermakna sesuatu proses atau cara untuk mendekati sesuatu karya sastera. Karya sastera dapat dikaji dengan lebih mendalam jika pengkritik menggunakan pendekatan tertentu. Pendekatan kritikan kesusasteraan di Malaysia terbahagi kepada dua iaitu pendekatan instrinsik dan pendekatan ekstrinsik.

KESIMPULAN
Menjadi seorang pengkritik bukanlah semudah yang dikatakan, seseorang pengkritik mestilah mempunyai ilmu yang mendalam, kreatif, kritis serta bertanggungjawab terhadap apa yang hendak di kritikan. Penguasaan ilmu memberikan satu kelebihan kepada pengkritik untuk menentukan apa jenis kritikan yang ingin digunakan dalam kerja-kerja mengkritik.
Peranan para pengkritik amat penting dan kita mengharapkan para pengkritik dapat memberi garis panduan kepada pengarang agar dapat menghasilkan suatu hasilan yang bermutu tinggi yang boleh menjadi kebanggaan bukan buat dirinya juga malahan masyarakat umumnya.

1 comment:

  1. Assalam Tuan..
    Boleh sy tahu sumber rujukan untuk maklumat ini?

    ReplyDelete